23 °c
Kuala Lumpur
Thursday, January 17, 2019

PRK CAMERON HIGHLANDS: Manogaran Akui Pikul Cabaran

Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran mengakui cabaran besar menanti sekiranya memenangi kerusi Parlimen tersebut.

Menurut beliau, kawasan di Cameron Highlands khususnya mempunyai pelbagai masalah yang perlu diatasi se­perti isu tanah, masalah lalu lintas, tiada pembangunan seimbang dan perancangan bandar, banjir dan tanah runtuh.

Justeru katanya, sekiranya menang, beliau mempunyai perancangan besar yang telah dirangka dengan beberapa isu akan diberikan keutamaan untuk penyelesaian segera.

“Masalah lalu lintas adalah isu utama di sini dan kita akan cuba atasinya segera. Jalan ke Kea Farm dan Brinchang misalnya sentiasa mengalami kesesakan ekoran kekurangan tempat letak kereta.

“Oleh itu, kita perlu membina lebih banyak ruang tersebut supaya pengunjung tidak akan meletak kenderaan mereka di kawasan yang boleh menyebabkan kesesakan,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata di sini hari ini.

Pada PRK kali ini, Manogar

an akan berdepan saingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor dan dua calon Bebas iaitu, Sallehuddin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Menurut beliau, untuk tindakan segera juga, pihaknya merancang untuk mengawal pengeluaran permit gerai dan sekiranya peniaga bersetuju, mereka akan dipindahkan ke lokasi lain.

Tambahnya, bagi perancangan jangka panjang pula beliau akan melihat kepada pindaan Kanun Tanah Negara dan lesen pendudukan sementara (TOL) selain mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Empangan dan Akta Keselamatan Empangan.

“Kita memerlukan Suruhanjaya Keselamatan Empangan seperti di negara lain. Kejadian yang berlaku di Empangan Sultan Abu Bakar sebelum ini perlu dijadikan contoh apabila mahkamah memutuskan TNB bersalah kerana cuai melepaskan air.

“Oleh itu, demi kebaikan dan keselamatan penduduk di sini, saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan Empangan yang akan mengambil alih pengurusan empangan daripada TNB,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.