oleh Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah
Inilah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) paling kelam kabut dan tidak tentu arah datangnya dari calon dan jentera parti Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands menjelang pengundian 26 Januari depan.
Dari hari pertama sehingga kempen yang sudah lebih 10 hari berlangsung, PRK kali ini memperlihatkan PH seolah-olah hilang taring. Hanya fitnah, penipuan, tohmahan dan menggunakan taktik kotor dan mengugut sebagai permainan untuk memastikan undi memihak kepada pihak mereka.
Bermula dari awal kempen, calon PRK PH, M Manogaran, mula menyindir orang Melayu dan Orang Asli yang memberikan perumpamaan melibatkan kuih, bagi menyokong hujahnya bahawa orang Melayu tidak akan memberikan sokongan kepada calon Orang Asli.
“Ikut perkiraan BN, mereka fikir… Mereka tak faham. Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli,” itu kata sindiran calon PH.
Tidak cukup dengan itu, Ahli Dewan Negara PH, Senator Bob Manolan Mohamad telah mencadangkan agar kerajaan pusat tidak membayar gaji tok batin yang tidak menyokong dasar PH, walaupun sesudah itu ditekan dengan hebat warga netizen yang akhirnya beliau minta maaf.
Dilihat tidak menjadi tohmahan dan ugutan awal, tuduhan PH terus menjadi-jadi apabila menimbulkan kononnnya terdapat lantikan kroni dalam kalangan ahli majlis bagi Daerah Cameron Highlands (MDCH).
Malahan, PH memainkan sentimen petani yang diabaikan dalam soal pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan kononnya hanya Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan masalah ini, di samping isu kesesakan lalu lintas dan bebanan tinggi hutang kerajaan negeri Pahang.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan Pusat PH turut melaungkan tiada projek pembangunan andainya pengundi Cameron Highlands tidak memilih calon PH sebagai wakil rakyat mereka.
Nampaknya, saya boleh simpulkan strategi kempen politik PH adalah politik takut bayang-bayang sendiri. Rakyat sudah ada jawapan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan PH. Kali ini, umpan tidak menjadi, wahai PH !
Rupa-rupanya PH ini tidak boleh menerima andainya kekalahan berlaku di Cameron Highlands.
Kalah menang, itu adat. Di PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, diikuti PRK Balakong dan PRK Seri Setia pada 8 September 2018, PRK Port Dickson pada 13 Oktober 2018, kesemua PRK itu siapa sebenar yang menang ?
Nampaknya setiap tohmahan dan permainan kotor yang ditonjolkan jentera PH semakin hari semakin pasrah dalam cubaan mengelirukan pengundi malahan lebih teruk lagi mencemarkan imej dan reputasi BN.
Saya hendak menarik perhatian rakyat secara keseluruhannya, termasuk pembaca untuk melihat lebih mendalam apa yang sebenarnya hendak ditonjolkan kerajaan baharu yang dikenali sebagai PH yang kononnya bersih, berwibawa dan berintegriti. Benarkah ?
Calon BN, Ramli difitnah untuk menyertai kerajaan PH atau menjadi calon bebas selepas menang pada PRK Cameron Highlands dalam satu laporan yang diterbitkan sebuah portal berita tempatan. Ini telah dinafikan sendiri calon sendiri.
Seterusnya menggunakan selebriti yang mahu menampar mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mungkin mahu mencalarkan reputasi dan kempen BN di Cameron Highlands yang akhirnya beliau telah sedar dan meminta maaf.
Satu lagi taktik licik PH adalah menggunakan kenderaan milik kerajaan negeri yang dilekatkan dengan lambang satu parti untuk berkempen. Akhirnya Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak telah mengarahkan menarik semula kenderaan pacuan empat roda itu yang digunakan dalam kempen PRK Cameron Highlands yang tular di laman sosial.
Rupa-rupanya kenderaan itu sebenarnya dipinjamkan kepada sebuah kementerian bagi kegunaan rasmi seorang timbalan menteri.
Dalam hal ini, soal etika berpolitik dalam berkempen adalah salah satu cara yang diharapkan boleh menghasilkan suasana harmoni antara pelaku (pemain/pekerja politik) dan khalayak (rakyat) bagi mewujudkan kekuatan sosial politik.
Dalam setiap pilihan raya, matlamat sebenarnya adalah memastikan menerusi suara wakil itu dapat memberi kepentingan untuk mencapai sebesar-besar kemajuan bangsa dan negara dengan mendahulukan kepentingan bersama dari kepentingan peribadi dan golongan tertentu.
Asas etika dalam kehidupan berbangsa dan bernegara perlu menampilkan kejujuran, amanah, keteladanan, disiplin, etos kerja, kemandirian, sikap toleransi, rasa malu, tanggungjawab, menjaga kehormatan serta martabat diri sebagai warga bangsa.
Inilah yang biasanya ditekankan dalam BN mengenai etika berpolitik dalam kehidupan berbangsa dan bernegara.
Saya percaya dalam tempoh lapan bulan kerajaan PH memerintah, rakyat sudah terasa bahangnya bahawa dalam kalangan elitis politik PH sudah semakin cenderung berpolitik dengan melalaikan etika kenegarawanan.
Banyak sekali kenyataan dan cara berkempen bahwa mereka berpolitik dilakukan tanpa rasional, mengedepankan emosi dan kepentingan kelompok, serta tidak mengutamakan kepentingan berbangsa.
Atas landasan itu, pengundi Cameron Highlands sudah dapat merasai apa yang ditonjolkan calon dan kerajaan PH dalam perilaku politik tidak lagi toleransi, berpura-pura, angkuh, sikap munafik serta melakukan pembohongan kepada rakyat dan manipulasi setiap isu.
Saya percaya pengundi dan rakyat secara keseluruhannya mula menerima BN yang sentiasa konsisten dalam aspek etika politik termasuk berkempen dengan menjadikan politik santun, cerdas, dan menempatkan bangsa dan negara.
Dalam kempen berpolitik, kejujuran sangat memerlukan keberanian.
Suatu keberanian yang dilandaskan kesedaran, proses berpolitik itu menjadi sihat dan setiap usaha itu dapat menangkis permainan politik kotor yang cuba didominasikan waima dari parti politik yang memerintah sekali pun.
- Penulis adalah Ketua Penerangan UMNO MALAYSIA
Discussion about this post