23 °c
Kuala Lumpur
Monday, February 18, 2019

RENCANA: Mengamati Sistem Pendidikan UK

oleh Siti Soraya Lin Abdullah Kamal

 

BERIKUTAN daripada beberapa usul dan perancangan yang dilakukan bagi menambah baik sistem pendidikan di Malaysia, saya terpanggil untuk berkongsi berkenaan perkara-perkara menarik yang saya amati daripada sistem pendidikan di United Kingdom (UK).

Mempunyai dua orang anak yang kini belajar di year 2 (berusia enam tahun) dan reception (berusia empat tahun), pengalaman yang diterima oleh kedua-dua mereka adalah unik dan begitu berharga.

Walaupun saya tidak bertujuan untuk mengagungkan sistem pendidikan di negara barat dan merendahkan pelaksanaan sedia ada di negara ini, tetapi pemerhatian secara kritis adalah perlu untuk kebaikan bersama seperti kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

1. Sistem persekolahan

Pendidikan percuma diberikan kepada kanak-kanak sejak berusia tiga tahun.

Kelompok kanak-kanak ini dibenarkan untuk berada di nurseri dalam tempoh tiga jam sehari.

Bagi ibu bapa yang bekerja, polisi baharu telah membenarkan anak mereka untuk berada di nurseri selama enam jam sehari.

Setelah menginjak ke usia empat tahun, semua kanak-kanak diwajibkan menghadiri sesi persekolahan bagi tempoh enam jam.

Sesi persekolahan bermula kira-kira jam 8.50 pagi dan berakhir kira-kira jam 3.15 petang. Murid-murid akan bercuti pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad).

Cuti penggal pula lazimnya adalah ketika perayaan Krismas, Easter, musim panas, musim luruh dan pada Februari. Murid-murid perlu memakai baju putih polo atau baju putih berkolar dan baju panas (yang mengandungi logo sekolah), seluar hitam atau biru gelap, berstoking putih dan berkasut hitam.

Mereka juga diminta membawa beg buku yang mengandungi buku cerita dan kerja rumah.

Semasa subjek Pendidikan Jasmani pula, mereka diminta memakai kasut sukan khas atau plimsoll, baju putih tidak berkolar dan seluar sukan.

Beg khas juga perlu disediakan untuk menyimpan pakaian sukan tersebut. Pakaian seragam dan beg tersebut boleh dibeli daripada pihak sekolah dengan harga berpatutan.

Selain daripada menyimpan buku dan kerja sekolah, beg tersebut digunakan oleh guru untuk menyampaikan surat dan notis pemberitahuan sesuatu maklumat kepada para penjaga.

Maka, menjadi kewajipan kepada pihak penjaga untuk memeriksa beg anak mereka pada setiap hari.

2. Kebanyakan programnya ringkas

Kebanyakan program tambahan yang bersifat bukan akademik dijalankan secara ringkas tetapi tetap menarik dan mencapai objektif.

Sebagai contoh, konsert peringkat aras dijalankan hanya beberapa minit sahaja. Setiap kelas akan mempersembahkan persembahan mereka setelah melakukan latihan bersama-sama guru.

Semua murid diberikan peranan masing-masing dan berpeluang untuk berada di pentas utama. Guru bimbingan duduk bersama murid yang mengadakan persembahan.

Mereka berperanan memainkan alatan muzik atau membimbing murid-murid sepanjang persembahan. Hiasan pentas yang ringkas seperti banner ataupun pancaran ringkas daripada LCD dijadikan sebagai backdrop pentas persembahan.

Semua ibu bapa dijemput hadir untuk melihat anak-anak mereka melakukan persembahan. Tiada jamuan atau ucapan panjang, malahan lebih bersifat santai dan tidak formal.

Contoh kedua, sambutan Afternoon Tea untuk meraikan murid-murid yang hadir penuh ke sekolah. Murid yang mempunyai rekod kehadiran penuh dijemput untuk menghadiri Afternoon Tea bersama-sama ibu bapa mereka.

Murid juga menerima sijil penghargaan dalam majlis tersebut. Guru besar sendiri memanggil nama dan menyerahkan sijil berkenaan kepada murid yang diraikan di dalam majlis yang mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja.

3. Kelas bersaiz kecil dan wujud jawatan guru pembantu

Kebiasaannya, setiap kelas mengandungi antara 25 hingga 30 orang murid dan wujud seorang atau dua orang guru pembantu di dalamnya.

Guru kelas serta guru pembantu bersama-sama menyediakan bahan pembelajaran untuk murid. Oleh sebab kelas bersaiz kecil, guru dapat mengenali setiap anak murid dengan teliti. Ketika perjumpaan antara ibu bapa dan guru, tiada gred atau markah yang dikongsikan.

Murid-murid di year 1 dan year 2 sebagai contoh tidak dikategorikan mengikut keupayaan yang lazimnya diukur berdasarkan markah ujian akademik.

Namun begitu, di dalam kelas, mereka dibahagikan mengikut tahap keupayaan melalui pemerhatian guru dan guru pembantu. Murid-murid juga diberikan latihan yang sesuai dengan tahap keupayaan dalam kumpulan masing-masing.

4. Kerja rumah setiap minggu

Pada setiap minggu, murid-murid akan mendapat kerja rumah yang diletakkan di dalam fail atau ditampal dalam sebuah buku khas.

Kebiasaannya kerja rumah tersebut merangkumi subjek literasi seperti membaca, menulis dan bercakap dengan para penjaga berkenaan sesuatu isu yang telah dipelajari sebelumnya.

Kerja rumah tersebut lazimnya ada kaitan dengan tema yang dipelajari oleh murid dalam minggu tersebut. Selain itu latihan daripada subjek Matematik juga diberikan sebagai kerja rumah murah untuk murid-murid.

Ibu bapa diminta membantu anak-anak mereka untuk menyiapkan kerja rumah dan diminta meletakkan tanda tangan mereka serta komen terhadap aktiviti membaca anak mereka.

5. Satu kelas satu guru

Seorang guru lazimnya akan memberi fokus kepada murid-murid di dalam satu kelas sahaja. Subjek yang diajar ketika di year 2 contohnya berkisar kepada Literasi (Bahasa Inggeris), Matematik, Sains, Seni, Muzik, Kemanusiaan (Sejarah), Pendidikan Jasmani, Pendidikan Diri, Sosial dan Kesihatan.

Bagaimanapun terdapat juga subjek yang diajar oleh guru bidang pengkhususan seperti Pendidikan Jasmani dan Muzik. Pembelajaran di nursery dan reception pula lebih bersifat play-based.

Terdapat pelbagai stesen permainan disediakan sebagai pilihan kepada murid-murid. Selain itu, aktiviti membaca dan mengira turut diperkenalkan.

6. Kursus pendek untuk ibu bapa

Pihak sekolah turut mengadakan siri-siri kursus pendek buat ibu bapa.

Sebagai contoh, kursus tersebut berkaitan cara ibu bapa boleh menyokong pembelajaran kanak-kanak dengan menggunakan teknologi dan membantu kanak-kanak membaca di rumah, cara menyediakan makanan sihat di rumah, cara berhadapan dengan tingkah laku anak-anak yang pelbagai dan kursus Bahasa Inggeris untuk ibu bapa yang memerlukan.

Bagi ibu bapa yang berminat mereka boleh hadir kursus tersebut yang lazimnya dijalankan tidak kurang satu jam. Tiada sajian disediakan, begitu juga jualan makanan.

7. Nilai dan adab

Pada setiap bulan, satu nilai akan diperkenalkan kepada murid-murid. Sepanjang bulan tersebut aktiviti seperti pertandingan melukis poster dan menulis esei diadakan untuk menggalakkan murid-murid menghayati nilai tersebut.

Hadiah galakan juga diberikan kepada murid-murid yang dilihat mengamalkan nilai tersebut oleh guru di dalam kelas.

Selain itu, budaya mengucapkan terima kasih, menyapa, dan mengucapkan perkataan please ketika membuat sesuatu permohonan atau meminta bantuan ditekankan dalam diri murid-murid sejak kecil.

Murid-murid juga diajar untuk menghormati orang lain yang sedang bercakap, sama ada rakan di dalam kelas atau guru yang mengajar.

 

  • PENULIS ialah Pelajar PhD Pendidikan, Universiti Sheffield, United Kingdom.

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.