23 °c
Kuala Lumpur
Monday, February 18, 2019

Batal ECRL Kejutan Negatif

mbatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai AS$20 bilion (RM81 bilion) diterajui China Communications Construction Group Ltd. (CCCC) disifatkan sebagai kejutan negatif kepada sektor pembinaan.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), Yip Kah Ming berkata, sama seperti projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), jangkaan terhadap projek mega kini menurun.

Katanya, kontrak bernilai kira-kira RM18 hingga RM24 bi­lion akan lesap kerana 30 hingga 40 peratus kerja ECRL akan diambil oleh kontraktor tempatan berdasarkan anggaran HLIB Research.

Jelas beliau, HSS Engineers Bhd. dan Lafarge Malaysia Bhd., yang telah menerima pakej kerja ECRL sebelum ini antara syarikat terjejas dengan pembatalan ECRL.

“Gabungan AQRS Bhd., yang dilihat sebagai pencabar utama bagi pakej kerja ECRL juga boleh terjejas.

“Kami menjangkakan terdapat tekanan ke atas saham syarikat pembinaan dalam tempoh terdekat berikutan berita ini yang memberi impak kepada sentimen,” katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

HLIB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ bagi sektor pembinaan yang akan terus berdepan cabaran susulan pembatalan projek mega selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kah Ming menjangkakan landskap industri pembinaan domestik kekal mencabar dan tidak mengharapkan peningkatan yang ketara dalam tempoh terdekat.

“Sebanyak 39 peratus penurunan dalam pemberian kontrak pada 2018 menyokong pandangan kami,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan CCCC bagi projek ECRL yang digantung pada Julai 2018 pada mesyuarat Kabinet dua hari sebelum itu.

Mohamed Azmin berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti semula kos dan mendapati ia terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamed Azmin itu mengejutkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berpendapat beliau mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat itu.

Menurut Guan Eng, status kontrak antara kerajaan dengan CCCC bagi projek ECRL sama ada dibatalkan atau sebaliknya hanya akan diketahui minggu depan.

“Pengumuman akan dibuat secara bertulis seperti mana diputuskan Kabinet sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, surat Guan Eng kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengenai pembatalan projek berkenaan bertarikh 18 Januari 2019 tular dalam media sosial.

MRL ketika dihubungi Utusan Malaysia enggan menjelas lanjut sebaliknya hanya me­nunggu keputusan Kementerian Kewangan. -UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.