23 °c
Kuala Lumpur
Monday, February 18, 2019

Al-Sultan Abdullah Tiba Di KLIA

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini sempena Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah menaiki pesawat khas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan, Pahang diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah .

Ketibaan baginda pada pukul 9.15 pagi disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah serta pegawai-pegawai kerajaan.

Yang turut menyambut ketibaan baginda ialah pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dari Kem Wardieburn, Kuala Lumpur terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota, diketuai Kapten Abdul Munir Mohani@ Che Omar.

Al-Sultan Abdullah kemudian berangkat ke Parlimen bagi istiadat sambutan oleh pemimpin negara dan akan disambut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Baginda seterusnya akan berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, diikuti Pengisytiharan Memegang Jawatan.

Pada 24 Januari lalu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) memilih Al Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuatkuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016. – UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.