23 °c
Kuala Lumpur
Monday, February 18, 2019

Sultan Abdullah Berlepas Ke KL Angkat Sumpah Agong Baharu

Ribuan rakyat Pahang daripada segenap lapisan masyarakat berkumpul di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini bagi menyertai istiadat memuliakan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ke ibu negara untuk menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Baginda yang dipilih oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khamis lalu akan secara rasmi diisytiharkan sebagai ketua negara baharu bagi tempoh lima tahun bermula hari ini selepas istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di Istana Negara.

Terdahulu, Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang berpakaian rasmi berangkat dari Istana Abdulaziz di sini pada pukul 7.30 pagi dengan kawalan polis bermotosikal.

Pergerakan berkenaan disertai rombongan pengiring Persekutuan dan negeri termasuk Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Tuanku berdua berangkat tiba Pangkalan TUDM kira-kira 10 minit kemudian yang disambut dengan persembahan ‘Hormat Diraja’ (lagu Negaraku dimainkan) diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan.

Baginda kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama sebelum persembahan ‘Hormat Diraja’ dengan lagu Negaraku dimainkan buat kali kedua.

Doa selamat dibacakan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman sebelum Tuanku berdua berlepas ke Kuala Lumpur.

Seterusnya Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menaiki jip bagi melambai rakyat jelata yang menanti untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda berdua dengan diringi laungan ‘Daulat Tuanku’ dan ‘Allahuakbar’.

Selepas itu, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat ke pesawat khas serta bersalaman dengan dif-dif kehormat dan pegawai tinggi kerajaan.

Dalam pada itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dinaikkan di kediaman rasmi Sultan Pahang di Istana Abdulaziz tepat pukul 12 tengah malam tadi.

Bendera itu dinaikkan seorang pegawai dan dua anggota dari Kompeni Ke-4 Polis Tentera Diraja (Mekanize) berpangkalan di Kem Batu 10, di sini sambil diiringi lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan pancaragam dari Pusat Tentera TUDM Kuala Lumpur.

Sebelum itu, tepat pukul 11.45 malam bendera peribadi Sultan Pahang diturunkan oleh seorang pegawai dan 13 anggota Provos TUDM Kuantan. – UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.