23 °c
Kuala Lumpur
Monday, February 18, 2019

DAP Minta PH Mesyuarat Bincang Kemasukan Bekas Wakil Rakyat UMNO

DAP telah meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat bagi membincangkan tentang isu penyertaan bekas-bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah membangkitkan perkara tersebut kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dan Pengerusi PH itu bersetuju agar mesyuarat di­buat dalam masa terdekat.

“Biar kita bincang hal dalam mesyuarat itu dengan sema­ngat PH,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek kepada sekolah tahfiz yang berdaftar di sini hari ini.

Beliau mengulas penyertaan tujuh bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu, iaitu salah satu daripada parti komponen PH semalam.

Salah seorang daripada bekas wakil rakyat UMNO itu ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya yang telah mencetuskan polimik berhubung isu perkahwinan mangsa rogol sehingga mendapat tentangan kuat daripada DAP sebelum ini.

Guan Eng dalam sidang akhbar itu menegaskan, biarpun Shabudin telah menyertai Bersatu, namun beliau tetap dengan pendirian mengecam kenyataan agar mangsa rogol mengahwini pelakunya.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada bekas wakil rakyat UMNO itu masih berpe­gang dengan kenyataan tersebut atau pun sebaliknya.

“Itu saya kecam dan hari ini saya tetap kecam juga. Saya tidak tahu sama ada Shabudin masih berpegang dengan pendirian ini atau tidak. Soalan ini perlu dijawab olehnya sendiri.

“Pada saya, sesiapa mempunyai pendirian seumpama ini iaitu mangsa rogol mengahwini perogol, perlu dikecam dan tidak patut dibenarkan. Saya tegas dengan pendirian saya. Ini saya rasa dia perlu jawab,” tegasnya.

Guan Eng ketika memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini menyatakan bahawa negeri itu berasa malu untuk mempunyai Ahli Parlimen ‘raksasa’ (monster) susulan kenyataan Shabudin terbabit. — UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.